Dua pelajar Program Pendidikan PERMATAPintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) masing-masing memenangi pingat emas dan gangsa pada Persidangan Saintis Masa Depan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) kali ketiga, yang diadakan di Taiwan baru-baru ini.
Amy Ng May Kay menggondol pingat emas dan Nurul Amalina Ramli meraih gangsa dalam projek bertemakan 'Rumah Eko Sifar Karbon' yang diadakan sempena persidangan lima hari yang bermula 11 April lepas, menurut kenyataan media PERMATAPintar Negara di sini hari ini.
Kedua-dua mereka yang mewakili PERMATAPintar UKM pada persidangan antarabangsa yang diadakan di Universiti Kebangsaan Taiwan, Taipei, telah diberi tanggungjawab mengaplikasi kebolehan intelektual sains mereka dalam projek membina 'Rumah Eko Sifar Karbon'.
Setiap kumpulan harus membina dan menyiapkan model miniatur rumah tersebut dengan hanya menggunakan bahan di kedai kem.
"Penilaian yang dilakukan adalah berdasarkan kriteria, kreativiti, kepraktisan, kecekapan ekonomi dan kemahiran membuat persembahan terhadap hasil
projek," menurut kenyataan itu lagi.
Malaysia dilaporkan akan menjadi tuan rumah persidangan tersebut tahun depan, yang merupakan program di bawah Pusat Pementoran Apec bagi Kalangan Berbakat Dalam Bidang Sains.
- Kuala Lumpur, 2 Mei 2011
No comments:
Post a Comment